Monday, June 23, 2008

Menyuburkan situasi menang-kalah

Ayah: Dapat nombor berapa?
Anak: Nombor dua.
Ayah: Ai, dulu kan nombor satu? Apasal turun?
Anak: Ada budak baru masuk. Dia dapat nombor satu. Padahal markah saya semua meningkat.
Ayah: Yang penting kau dah nombor dua. Ayah nak kau LAWAN budak baru tu. Kalau dapat nombor satu, ayah belikan helikopter kawalan tu.

Demikian sebuah episod lazim yang berlaku pada hampir semua keluarga di negara kita dan mungkin juga di dunia.

Apa masalahnya?

Ramai menyangka kejayaan hanya boleh diraih sekiranya pesaing mereka dapat dikalahkan.

Ini yang dikatakan situasi "menang-kalah."

Padahal dunia ini bukan gelanggang perlumbaan. Malah bukan juga medan pertandingan.

Budaya 'ranking' yang disemai sejak di bangku sekolah akhirnya membiak subur dalam jiwa generasi demi generasi. Ia menenggelamkan semangat tolong menolong disamping menggalakkan hasad dengki.

Jika adapun kerjasama, ia lebih tertumpu pada usaha bagi mengalahkan kelompok lain.

Apa yang berlaku sebenarnya?

Sistem 'rangking' tidak banyak membantu meningkatkan kualiti sebaliknya mungkin hanya membandingkan antara yang baik dengan yang kurang baik.

Malah kadangkala ia sekadar membandingkan antara yang lemah dengan yang lebih lemah.

Contohnya, jika Ali mendapat markah 40 sedangkan rakan-rakan sekelasnya mendapat markah lebih rendah dari itu maka Ali mendapat nombor satu.

Nombor satu boleh diperolehi melalui dua cara iaitu berusaha mendapatkan markah yang lebih tinggi daripada pesaing ataupun berusaha agar pesaing mendapat markah lebih rendah.

Implikasi
1) Perbincangan dianggap membosankan, perdebatan digemari.
2) Kawan menjadi lawan.
3) Timbul kelompok pencadang dan kelompok pembangkang.
4) dan sebagainya.

Adegan yang ingin kita lihat

Ayah: Dapat berapa A?
Anak: 19A.
Ayah: Ai, dulu kan 20A? Apasal turun?
Anak: Pelajaran makin susah la ayah. Tapi, ada budak baru masuk. Dia dapat semua A.
Ayah: Bagus. Ayah nak kau KAWAN dengan budak baru tu. Kalau kau berdua dapat semua A, ayah belikan helikopter kawalan tu sorang satu.

Wallahu'alam.

Arwah Abang Mail

Aku kenal abang Mail kerana isterinya kak Baidah berniaga di kantin sekolah tempat aku bertugas.

Itulah sekolah pertama aku. Ia terletak berhampiran sungai Pahang. Jumlah murid setiap tahun tidak pernah melebihi 50 orang dengan guru seramai 6 orang (termasuk guru besar). Tiada kerani dan tiada pekerja am tetap.

Abang Mail bekerja sebagai pemandu Felcra. Cuma sesekali aku dapat berjumpa atau berbual dengannya. Dia berasal dari kedah: persamaan yang mempercepatkan silaturrahim antara kami.
Isterinya orang kampung itu. Mereka mempunyai 8 orang anak. 3 di sekolah menengah, 3 di sekolah rendah dan 3 lagi belum bersekolah.

Aku sering teringat pada Abang Mail kerana perkara ini:
Suatu hari dia memberitahuku dengan gembira bahawa dia dapat kembali bertugas di Kedah. Dia amat bersyukur meskipun perkhidmatannya cuma tinggal kurang dari 10 tahun sahaja lagi.
Abang Mail juga memberitahuku bahawa dia telah menandatangani surat pilihan untuk meneruskan potongan KWSP. Ini bermakna dia atau warisnya tak berhak mendapat pencen bulanan selepas bersara.

Aku merasa hairan dengan pilihannya. Aku beritahu Abang Mail kelebihan skim pencen. Malah kerajaan amat menggalakkan pilihan itu.

Kerajaan membuka pilihan KWSP kerana ada segelintir kakitangan awam yang memintanya. Atas semangat demokrasi maka rakyat diberi peluang menentukan pilihan sendiri.

Memanglah, setiap pilihan tersebut ada kebaikan dan kelemahannya.

Abang Mail mengaku kebenaran itu. Malah dia memang awalnya bercadang memilih skim pencen. Namun di saat akhir beberapa orang teman telah 'menasihati'nya agar memilih KWSP.

Menyedari kesilapan itu Abang Mail cuba menukar semula pilihannya selepas beberapa bulan. Namun permohonan tersebut tidak dibenarkan lagi.

Tidak lama selepas itu Abang Mail bersama isteri dan 8 orang anaknya pun pindah ke Kedah.

Beberapa bulan kemudian aku terserempak dengan kak Baidah di pejabat sekolah. Dia sedang menguruskan pertukaran semula anak-anaknya ke sekolah itu.

"Abang Mail dah meninggal dunia. Kemalangan di Kodiang." Kak Baidah melupuskan kehairananku dengan sayu.

Aku tergamam. Bukan tak percaya takdir. Banyak yang menerawang dalam kotak fikirku.
Yang utama, siapakah kawan-kawan abang Mail yang berjaya mempengaruhinya menukar keputusan?

Mempengaruhi orang lain tidak sukar tetapi sanggupkah bertanggung jawab apabila pendapat kita diterima orang?

Siapa nak tolong jawab apabila balu dan anak-anak yatim itu bertanya, kenapa ayah kami tiada wang pencen?

Itu kisah 15 tahun lalu.

Sekarang, oleh kerana terdapat ribuan blog di internet maka para blogger berkongsi dilema yang sama: iaitu untuk menyatakan kebenaran, mempertahankan sudut pandangan, dan mengekalkan populariti.

Bagi yang ingin blognya popular, maka tulislah cerita sensasi.

Di manakah anda? Tepuk dada tanyalah...iman.

Sunday, June 22, 2008

Mesyuarat bosan

Petang semalam aku hadir satu meeting yg agak m'bosankan. Apatah lagi aku cuma ahli biasa dalam persatuan tu. Tak banyak yang boleh kubantu.

Bagi mengisi masa lapang, kukeluarkan 'smartphone' (SP) ku. Aku menukar ketetapannya kepada 'senyap'. Jadi jika ada panggilan, ia tak mengganggu mesyuarat.

Kemudian aku buka 'note pad' SP tersebut. Jadi sepanjang mesyuarat selama hampir 2 jam tu, dapatlah aku siapkan satu artikal.

Dalam pada tu sesekali aku sempat juga melihat rakanku yang menjadi pengerusi berhempas pulas mengendalikan mesyuarat.

Pedulikanlah. Lagipun aku tengok dia pun tak pedulikan aku sangat. Sibuk menerangkan entah apa-apa.

Sebenarnya aku ada beberapa idea untuk dicadangkan. Namun entah kenapa rasa malas pulak. Tak kuasa aku nak bertengkar bila cadangan aku dipertikai nanti.
Lagipun kalau diterima, aku jugak yang kena laksanakan.

Akhirnya mesyuaratpun ditangguhkan. Aku segera bergegas keluar sebab belum solat zohor lagi. Tadi tak sempat. Mesyuarat mula jam 2 petang.

"Hai, tak kan tak minum dulu?" kawanku yang jadi pengerusi tadi menegur.
"Sori Ron. Aku belum solat." jawabku.

Malam itu kucapai "SP"ku untuk membuat panggilan. Rupa-rupanya ada 5 sms dan 3 panggilan tak dijawab yang tidak kusedari. Rupanya aku lupa menukar ketetapan kepada 'normal' selepas mesyuarat siang tadi.

Kubuka satu sms, dr Harun:
"Man, kau marah aku ke? Mesy tadi langsung tak ambik bahagian. Asyik dgn sms je.."

Aku terkedu. Harun dah salah sangka. Malah sms tadi pun belum kujawab.

Hari ni aku dah lukakan hati seorang teman.
Padahal aku yg cadangkan dia jadi pengerusi dulu.
Ok lah. Aku nak reply sms Harun dulu. Nak minta maaf. Lain kali aku akan tumpu perhatian pada mesyuarat. Aku akan simpan hp dan beri sokongan pada persatuan kami tu.

Assalamualaikum,

Ada 2 jenis cermin yg kita guna hampir setiap hari.

Pertama, 'cermin muka' yg kita gunakan untuk melihat wajah kita sendiri. Rasionalnya, biar kita tengok dulu muka kita samada ok ke tak ok sebelum orang lain melihatnya.

Kedua, 'cermin pandang belakang' pada kenderaan yg kita gunakan untuk melihat orang lain.

Weblog ini bukan diari terbuka dan bukan juga pendedahan eksklusif mana-mana individu termasuk penulis.

Sebaliknya ia berfungsi seperti cermin yang memantulkan imej sesiapa sahaja yang membacanya.

Dengan kata lain ketika anda membaca tulisan di sini anda seolah sedang membaca tentang diri sendiri.

Akhir kata saya ucapkan selamat membaca dan selamat mencuba sendiri.