Aku kenal abang Mail kerana isterinya kak Baidah berniaga di kantin sekolah tempat aku bertugas.
Itulah sekolah pertama aku. Ia terletak berhampiran sungai Pahang. Jumlah murid setiap tahun tidak pernah melebihi 50 orang dengan guru seramai 6 orang (termasuk guru besar). Tiada kerani dan tiada pekerja am tetap.
Abang Mail bekerja sebagai pemandu Felcra. Cuma sesekali aku dapat berjumpa atau berbual dengannya. Dia berasal dari kedah: persamaan yang mempercepatkan silaturrahim antara kami.
Isterinya orang kampung itu. Mereka mempunyai 8 orang anak. 3 di sekolah menengah, 3 di sekolah rendah dan 3 lagi belum bersekolah.
Aku sering teringat pada Abang Mail kerana perkara ini:
Suatu hari dia memberitahuku dengan gembira bahawa dia dapat kembali bertugas di Kedah. Dia amat bersyukur meskipun perkhidmatannya cuma tinggal kurang dari 10 tahun sahaja lagi.
Abang Mail juga memberitahuku bahawa dia telah menandatangani surat pilihan untuk meneruskan potongan KWSP. Ini bermakna dia atau warisnya tak berhak mendapat pencen bulanan selepas bersara.
Aku merasa hairan dengan pilihannya. Aku beritahu Abang Mail kelebihan skim pencen. Malah kerajaan amat menggalakkan pilihan itu.
Kerajaan membuka pilihan KWSP kerana ada segelintir kakitangan awam yang memintanya. Atas semangat demokrasi maka rakyat diberi peluang menentukan pilihan sendiri.
Memanglah, setiap pilihan tersebut ada kebaikan dan kelemahannya.
Abang Mail mengaku kebenaran itu. Malah dia memang awalnya bercadang memilih skim pencen. Namun di saat akhir beberapa orang teman telah 'menasihati'nya agar memilih KWSP.
Menyedari kesilapan itu Abang Mail cuba menukar semula pilihannya selepas beberapa bulan. Namun permohonan tersebut tidak dibenarkan lagi.
Tidak lama selepas itu Abang Mail bersama isteri dan 8 orang anaknya pun pindah ke Kedah.
Beberapa bulan kemudian aku terserempak dengan kak Baidah di pejabat sekolah. Dia sedang menguruskan pertukaran semula anak-anaknya ke sekolah itu.
"Abang Mail dah meninggal dunia. Kemalangan di Kodiang." Kak Baidah melupuskan kehairananku dengan sayu.
Aku tergamam. Bukan tak percaya takdir. Banyak yang menerawang dalam kotak fikirku.
Yang utama, siapakah kawan-kawan abang Mail yang berjaya mempengaruhinya menukar keputusan?
Mempengaruhi orang lain tidak sukar tetapi sanggupkah bertanggung jawab apabila pendapat kita diterima orang?
Siapa nak tolong jawab apabila balu dan anak-anak yatim itu bertanya, kenapa ayah kami tiada wang pencen?
Itu kisah 15 tahun lalu.
Sekarang, oleh kerana terdapat ribuan blog di internet maka para blogger berkongsi dilema yang sama: iaitu untuk menyatakan kebenaran, mempertahankan sudut pandangan, dan mengekalkan populariti.
Bagi yang ingin blognya popular, maka tulislah cerita sensasi.
Di manakah anda? Tepuk dada tanyalah...iman.
Monday, June 23, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment